Wednesday, May 13, 2009

Tanda-Tanda Kiamat.Beringat Sebelum Terlajak 4

PERLINDUNGAN DARI FITNAH DAJJAL

1. Berpegang teguh dengan agama Islam dan memperkuatkan iman dengan mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah yang tidak bersekutu padanya dengan seorangpun sehinggalah ia mengetahui bahawa Dajjal adalah makhluk biasa yang makan dan minum sedangkan Allah Maha Suci dari semua itu.

2. Memohon perlindungan terutamanya ketika tahiyyat terakhir sebelum salam dengan membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ اِنِّيْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ عَذَاْبِ جَهَنَّمْ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاْتِ ومِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّال

“Ya Allah, aku memohon perlindungan dari azab jahannam dan dari azab kubur dan dari fitnah hidup dan mati dan dari seburuk-buruk fitnah al-Masih ad-Dajjal.” [HR Muslim dari Abu Hurairah r.a.]

3. Menghafal atau membaca 10 ayat awal surah al-Kahfi atau 10 ayat terakhir surah al-Kahfi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim kitab al-Fitan, Bab Zikr ad-Dajjal. Antara keistimewaan surah al-Kahfi adalah sebagaimana sabda Nabi s.a.w. daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a: “Sesungguhnya orang yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka diberi cahaya untuknya di antara dua Jumaat (jumaat ini dan jumaat depan).” [Hadis riwayat al-Hakim, disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Jami' Shaghir]

4. Jika telah muncul Dajjal, hendaklah ia bersembunyi dan adalah lebih baik menetap di Mekah dan Madinah kerana Dajjal tidak akan dapat memasuki Kota ini dan Masjid-masjid yang telah di sebutkan di dalam hadith. Sabda Nabi: “Barang siapa mendengar ada Dajjal maka hendaklah ia bersembunyi darinya. Demi Allah ada seseorang yang mendatanginya dan dia mengira bahawa ia beriman lantas dia mengikutinya kerana banyak syubhat atau kesamaran yang menyertainya.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Hakim]

KEMUSNAHAN DAJJAL

Dajjal akan mati ditangan Nabi Isa ‘Alaihissalam. Ketika Nabi Isa a.s turun, Dajjal sedang menuju ke Baitul Maqdis. Kemudian Nabi Isa a.s bertemu dengannya di pintu Ludd (satu negeri dalam Negara Palestin berdekatan dengan Baitul Maqdis). Pada waktu Dajjal melihat Nabi Isa a.s, Dajjal menjadi cair seperti garam yang larut di dalam air, kemudian Nabi Isa a.s berkata kepada Dajjal: “Sesungguhnya bagiku padamu ada satu pukulan yang engkau tidak akan dapat lari darinya.” Kemudian Nabi Isa a.s mengejarnya dan membunuhnya lantas pengikut-pengikut Dajjal bertempiaran lari kerana dikejar oleh orang-orang mukmin sehingga pokok-pokok dan batu-batu ketika itu berbicara: “Wahai orang muslim, wahai hamba Allah! Ini dia orang yahudi di belakangku! Kemarilah, bunuhlah dia!” [Kisah ini ada di dalam An-Nihayah fil-Fitan Wal Malahim juga sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad]

No comments: